Friday, February 20, 2009

kawan lama

Semalam kawan lama SMS "Kanapa tak datang reunion". Hatiku bertanya "Siapa lah pulak ni?". Nombornya tidak kukenal. Lalu jawabku "Me in JB". Dia balas "JB bukanlah jauh sangat". Hatiku mula rasa bengang bila ada orang yang mempersoalkan jawapanku. Lantas aku hubungi nombor itu. Sertamerta jawabnya "Tomoooo...". Suaranya kecil, sedikit nyaring dan manja. Macam aku kenal, tetapi wajahnya tidak dapat kupadankan. Kami berborak kurang lebih lima minit.
Dalam masa yang sesingkat itu banyak yang ditanya dan banyak yang cuba dijawab. Maklumlah lama tidak berjumpa, lebih kurang 12 tahun. Setiap minit bicara kami, wajahnya makin jelas dalam gambaran. Susuk tubuhnya aku padankan juga. Akhirnya semuanya jelas, dari hanya suara kini dia berdiri dan mundar-mandir di mata gambaranku. Orangnya tidak tinggi, empat kaki sembilan rasanya. Dia bertubuh sederhana. Bergaya. Memang manja.
Namun gambaranku berdasarkan pengalaman yang sudah12 tahun berlalu. Katanya kini sudah berrumahtangga. Sedikit rendah diri dalam suaranya bila bicara sudah beranak dua. Mungkin penampilannya kini sudah tidak seperti dulu. Aku cepat-cepat menukar tajuk cerita.
Rupanya kami tidak jauh dari tempat bekerja. Bicara pula pasal apa kerjanya dan bagaimana. Sedikit bosan bila perkaranya teknikal dan fakta. Itu tandanya kami kehabisan idea. Mungkin dalam talifon kurang menarik, bersuara sahaja tanpa riak muka dan gerak anggota. Lagipun aku punya kerja yang mahu diselesaikan dan dia katanya sedang bergegas kerumah adiknya. Kami akhiri bicara dengan ucap selamat dan berjanji akan berhubung lagi.
Sebaik panggilan kutamatkan aku senyum sendiri. Bicara yang bermula dengan rasa bengang akhirnya diwarnai kenangan lama. Tebayang saat indah masa lampau. Bagai filem lama, bukan sahaja dia tetapi watak watak tambahan yang menyerikan suasana. Terasa bahagian mindaku yang lama diperuk kini bertenaga semula. Anehnya, mungkin kenangan lama buat kita rasa bernyawa.
Aku terima kasih pada dia yang sudi bicara.

No comments:

Post a Comment