Seminggu lalu aku dikejutkan oleh berita seorang teman terlibat dengan kemalangan. Beliau dalam perjalanan pulang dari pejabat. Ceritanya beliau tidak sihat hari itu dan telah mengambil ubat batuk sebelum pulang. Kereta beliau telah merempuh pembahagi jalan dan beliau tercampak keluar dari kereta. Polis dapati tiada kesan brek pada jalan.
Genab seminggu dari hari kejadian, setelah bertahan di wad kecemasan beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tinggallah seorang isteri meratap perpisahan. Si comel yang empat tahun merenung jauh bila ayah akan pulang. Si kecil tujuh bulan tidak ketahuan gambaran wajah ayah yang kesamaran.
Setibanya aku dirumah keluarga beliau, dimuka laman seorang pakcik senyum pahit menyambut tetamu. Terharu ramai yang datang lantas pakcik mengukir senyuman terima kasih, namun manis senyumnya larut oleh pahit kecewa.
Aku dan para tamu yang duduk diruang anjung mula membariskan Yassin. Dikepalai seorang ustaz kami bertahlil. Doa ustaz menyayat hati. Ramai yang tunduk insaf. Pakcik kulihat berhujan air mata.
Tamu yang datang, masing masing tidak lepas peluang bertahlil ringkas. Mungkin perpisahan begini beri peluang yang jarang mengaji untuk menyelak helaian Yassin. Majlis tergempar ini menemukan yang lama tidak bersua untuk kembali berbicara. Mungkin rasanya agak kekok tetapi pertemuannya penuh emosi. Dalam suasana begini kita mengelak sengketa dan ada dosa yang mintak diampun.
Suasana murung ini menyebabkan aku insaf. Wajah yang datang penuh keikhlasan. Keaadaan begini kita tidak fikir hendak menunjuk dan tidak heran apa yang kurang. Sewaktu solat jenazah ramai yang berpusu. Doanya paling ikhlas untuk si jenazah. Selesai solat kami bergilir menjenguk wajah jenazah buat kali terakhir. Kali ini disambilkan dengan berdoa. Wajahnya yang tidak sekacak selalu, sembab dek bengkak kemalangan, kelihatan tenang menerima takdirnya.
Ramai yang ikut ke kuburan, tetapi aku arahkan langkahku pulang kerumah. Perjalananku ditemani kenanganku bersama si mati. Bagai putaran wayang gambar yang pantas dan ringkas. Ada cerita yang tersenyum dan ada juga yang tidak. Pastinya doaku yang baik-baik untuknya.
Sampai dirumah aku bertanya sendiri, “Bagaimana hari perpisahan terakhirku nanti? Siapa yang akan aku tingggalkan? Bagaimana mereka? Siapa yang akan datang majlisku nanti? Ramai ke? Berdoa? Apa kenangan mereka bersamaku? Baik ke?”
Aku renung lama bumbung rumahku.
Thursday, February 5, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Pohon keampunan dosa yang lampau,
ReplyDeleteUlanginya, jangan
Berbaik2 sesama manusia, jiran tetangga..
Derhaka pada Allah, jangan
Taat pada yang Esa dan segala suruhannya..
Taat pada ibu bapa dan suami tercinta dan ibu bapa..
InsyaAllah dipermudahkan bila tiba waktunya..
Dan ditempatkan bersama para anbiya..
Sama2 kita berdoa untuk muslimin dan muslimat semua. Amin...